Pergi ke kandungan

Muktazilah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Mu'tazilah)


Muktazilah (bahasa Arab: المعتزلة al-mu`tazilah) adalah satu dari cabang pemikiran dalam Islam yang terkenal dengan sifat rasional dan liberal. Ciri utama yang membezakan pemikiran ini dari pemikiran teologi Islam lainnya adalah pandangannya yang lebih banyak menggunakan dalil 'aqliah (akal) sehingga sering disebut sebagai aliran rasionalis Islam.

Etimologi

Perkataan Muktazilah berasal dari bahasa Arab إعتزل (iʿtazala) yang bermaksud "meninggalkan", "menjauhkan diri".

Sejarah perkembangan

Pemikiran Muktazilah mula bertapak pada kurun kelapan Masehi (abad kedua hijrah) di Basrah, Iraq, apabila Wasil ibn Ata meninggalkan kelas pembelajaran Hasan al-Basri selepas berselisih faham mengenai isu Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn (akan diterangkan kemudian). Beliau dan pengikutnya termasuk Amr ibn Ubayd kemudiannya dilabelkan sebagai Muktazili/Mu'tazili. Golongan ini juga menggelar diri mereka sebagai Ahl al-Tawhid wa al-'Adl (golongan tauhid dan keadilan Tuhan) berdasarkan ideologi yang mereka perjuangkan di antaranya mahukan sistem Islam yang berdasarkan akal. Mereka juga dilabel sebagai golongan free will dan free act, kerana mereka berpegang kepada prinsip kebebasan melakukan sesuatu.

Ketika pertama kali muncul, pemikiran Muktazilah tidak mendapat simpati umat Islam, terutama di kalangan masyarakat awam kerana mereka tidak begitu memahami ajaran Muktazilah yang bersifat rasional dan sarat dengan falsafah. Alasan lain mengapa pemikiran ini kurang mendapat sokongan umat Islam pada saat itu adalah kerana pemikiran ini dianggap tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat.

Muktazilah bergantung kepada beberapa aspek pemikiran dari falsafah Islam, Yunani dan Helenistik.

Aliran Muktazilah berkembang di kalangan golongan intelek semasa pemerintahan Khalifah al-Ma'mun dari dinasti Abbasiyah (198-218 H/813-833 M). Kedudukan Muktazilah semakin kukuh setelah Khalifah al Ma'mun menjadikannya sebagai mazhab rasmi negara. Dikatakan Khalifah al Ma'mun sejak kecilnya sudah dididik dalam tradisi Yunani yang gemar dengan falsafah dan ilmu pengetahuan.[1]

Dan pada zaman itulah golongan muktazilah memaksakan pemikirannya yang dikenal dalam sejarah dengan peristiwa Mihnah (fahaman bahawa al-Quran itu makhluk Allah, jadi tidak qadim. Jika al-Quran dikatakan qadim, maka akan timbul kesimpulan bahawa ada yang qadim selain Allah).

Ajaran asas

Muktazilah mempunyai lima ajaran asas iaitu:

  1. Al-Tauhid التوحيد:
    • Muktazilah percaya kepada Tauhid iaitu Tuhan itu satu. Mereka berbeza dari majoriti Muslim dalam menerangkan tentang konsep Tauhid supaya selari dengan wahyu dan akal. Contohnya majoriti mazhab dalam Islam menghadapi kesulitan dalam menerangkan sifat Tuhan tanpa menyamakanNya dengan perwatakan manusia (anthropomorphic) atau tidak menerangkan langsung maksud tersebut seperti yang tertulis dalam wahyu.[2] Muktazilah mengatakan sifat Tuhan adalah tidak berbeza dari zatNya. Dengan kata lain, Tuhan itu Maha Mengetahui, tetapi Tuhan itu Maha Mengetahui kerana zatNya bukannya kerana Ia mempunyai pengetahuan yang terasing dari diriNya. Konsep Tauhid ini diterangkan dalam hasil kerja cendekiawan Muktazilah, hakim agung Abd al-Jabbar ibn Ahmad.[3]
    • al-Qur'an ialah makhluk.
    • Tuhan di alam akhirat kelak tak terlihat mata manusia. Yang terjangkau mata manusia bukanlah Ia. Mereka berdalil dengan firman Allah Ta’ala[4]:
      "قال رب أرنى أنظر إليك قال لن ترانى"
      yang bermaksud:
      “Maka Nabi Musa berkata: Wahai Tuhan ku perlihatkanlah kepadaku zat Mu yang Maha Suci supaya aku dapat memandang kepada Mu, Allah menjawab: Engkau tidak sekali-kali dapat melihat Ku”
      Mereka menafikan penglihatan itu berdasarkan kepada tafsiran mereka akan perkataan “لن” yang menafikan masa sekarang dan akan datang.
  2. Al-'Adl العدل - Keadilan Tuhan. Dalam menghadapi masalah kewujudan kejahatan di dunia, Muktazilah percaya kepada free will (kebebasan manusia). Kejahatan dilihat sebagai sesuatu yang berlaku kerana kesalahan manusia dalam melakukan sesuatu. Muktazilah tidak menafikan kewujudan kezaliman ke atas manusia kerana ini terjadi disebabkan manusia itu menyalah gunakan free will (kebebasan) yang diberi Tuhan. Dalam menerangkan hal ini, Muktazilah bergantung kepada doktrin taklif - iaitu hidup ini adalah ujian Tuhan kepada manusia yang diberikan akal fikiran untuk memilih yang baik dan buruk.
    Pada hari Kiamat nanti, mereka akan dihukum Tuhan atas segala nikmat yang mereka perolehi dan tanggungjawab yang diamanahkan semasa mereka di dunia. Sekiranya mereka ini menyalah gunakan akal fikiran yang diberi Tuhan, mereka akan dihukum di neraka. Ini kerana Tuhan telah bersikap adil dalam menjelaskan jalan yang lurus dan jalan yang sesat dalam kitab suciNya.
  3. Al-Wa'd wa al-Wa'id الوعد و الوعيد - Janji dan amaran. Mereka berpendapat Tuhan tidak akan mungkir janji iaitu memberi pahala pada muslimin yang baik dan memberi azab seksa pada muslimin yang jahat pada hari Kiamat nanti.
  4. Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn المنزلة بين المنزلتين - Posisi pertengahan. Pendapat ini dicetuskan Wasil ibn Ata yang membuatnya berpisah dari gurunya Hasan al-Basri, bahwa mukmin berdosa besar dan tidak bertaubat, dia bukan mukmin (beriman) tetapi juga bukan kafir (tidak beriman), statusnya boleh dipanggil fasik. Mereka ini boleh dikebumikan sebagai Muslim, didoakan dan mengahwini Muslim. Hanya Tuhan yang akan menentukan di neraka mana mereka ditempatkan kerana neraka itu mempunyai banyak tingkat untuk semua golongan.
    Imam Hasan al-Basri berpendapat muslim berdosa besar masih seorang mukmin sementara golongan Khawarij mengatakan mereka kafir.
  5. Al-amr bil ma'ruf wa al-nahy 'an al munkar الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر - menyeru kebaikan dan melarang kemungkaran. Menyeru kebaikan terdapat dua jenis, satu yang wajib seperti tanggangjawab agama (al-faraid) apabila seseorang meninggalkannya (dayya'aha) dan yang sunat (al-nafila) apabila seseorang meninggalkannya (tarakaha). Dan bagi melarang kemungkaran, ia wajib kerana kemungkaran itu adalah salah (qabih). Jika boleh, melarang kemungkaran itu mestilah jalan yang tidak menyusahkan atau menjadikan kemungkaran itu tidak begitu teruk, dengan matlamat supaya kemungkaran itu tidak berlaku langsung.
    Tafsiran Muktazilah berbeza dengan tafsiran ulama’-ulama’ ahli as-sunnah wal-jamaa’h. Di mana muktazilah berpendapat bahawa menyuruh kepada perkara yang ma’ruf dan mencegah perkara kemungkaran mestilah dengan hati terlebih dahulu, kemudian dengan lidah, kemudian dengan tangan dan sekiranya tidak mencukupi dengan lidah dan tangan maka dengan menggunakan pedang. Mereka tidak membezakan antara yang berkuasa dengan tidak berkuasa. Mereka berdalil dengan firman Allah Ta’ala[5]:
    "وإن طائفان اقتلوا فأصلحوا بينهما فإن بغت احدهما على الأخرى فقاتلوا التى تبغى حتى تفىء إلى أمر الله " yang bermaksud:
    "Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang maka damaikanlah di antara keduanya dan jika salah satu di antara keduanya berlaku zalim terhadap yang satu lagi maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah."

Akal dan wahyu

Golongan Muktazilah mempunyai teori sendiri tentang akal, wahyu dan hubungan di antara keduanya. Mereka menghargai kekuatan akal dan intelek manusia. Bagi golongan ini, akal manusia membawa mereka mengenali Tuhan, sifatNya dan akhlak. Apabila pengetahuan asas ini dan kebenaran Islam dan wahyu al-Quran dicapai, akal dan kitab suci akan menjadi sumber utama kepada panduan dan ilmu pengetahuan orang Islam. Harun Nasution dalam Muktazilah dan Falsafah Rasional (1997), berhujah penggunaan meluas rasionaliti oleh Muktazilah dalam memajukan pandangan agama mereka dengan menulis: "Adalah tidak menghairankan penentang Muktazilah seringkali menuduh Muktazilah sebagai manusia yang tidak memerlukan wahyu, bahawa bagi mereka semuanya boleh diketahui dengan akal, dan terdapat konflik di antara akal dan wahyu, bahawa mereka berpegang kepada akal dan meninggalkan wahyu, dan Muktazilah tidak mempercayai wahyu. Tetapi adakah benar Muktazilah berpendapat semuanya boleh diketahui melalui akal dan oleh itu wahyu tidak diperlukan? Tulisan-tulisan golongan Muktazilah menunjukkan sebaliknya. Pada pendapat mereka, akal manusia tidak cukup kuat untuk mengetahui segalanya dan kerana itu manusia memerlukan wahyu untuk sampai kepada kesimpulan berkenaan apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk mereka."

Posisi Muktazilah tentang peranan akal dan wahyu diterangkan dengan baik oleh Abu al-Hasan al-Ash'ari (wafat 324 selepas hijrah/935M), seorang ahli teologi mazhab Ash'ari, dengan mengaitkannya kepada sarjana Muktazilah Ibrahim al-Nazzam (wafat 231 selepas hijrah/845M):

“ كل معصية كان يجوز أن يأمر الله سبحانه بها فهي قبيحة للنهي، وكل معصية كان لا يجوز أن يبيحها الله سبحانه فهي قبيحة لنفسها كالجهل به والاعتقاد بخلافه، وكذلك كل ما جاز أن لا يأمر الله سبحانه فهو حسن للأمر به وكل ما لم يجز إلا أن يأمر به فهو حسن لنفسه ”


Tokoh Muktazilah

Tokoh-tokoh Muktazilah yang terkenal ialah:

  1. Wasil bin Ata, lahir di Madinah, pelopor ajaran ini.
  2. Abu Huzail al-Allaf (751-849 M), penyusun lima ajaran asas Muktaziliyah.
  3. an-Nazzam, murid Abu Huzail al-Allaf.
  4. Abu Ali Muhammad bin Abdul Wahab al-Jubba’i (849-915 M).

Pemikiran muktazilah masih wujud hingga ke hari ini dalam bentuk Zaidiyah (yang juga merupakan satu cabang Syiah) yang bertapak di Yaman, dan Ibadhi (yang juga merupakan satu cabang Khawarij) yang bertapak di Oman.[6]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ Republika Online: Ensiklopedia Islam
  2. ^ Jackson, 2005
  3. ^ Diterjemahkan oleh Martin et al. (1997)
  4. ^ Muhammad bin Haji Ismail, "Penyelewengan Tafsir dalam Masyarakat di Malaysia", Jabatan Pengajian Al-Qur’an dan As-Sunnah, UKM, 2000
  5. ^ Muhammad bin Haji Ismail, 2000
  6. ^ YouTube: Lives of Sahaba 36 - Ali Ibn Abu Talib pt.7

Bacaan lanjut

  • 'Abd al-Jabbar (1965). 'Abd al-Karim 'Uthman (ed.). (penyunting). Sharh al-Usul al-Khamsa (dalam bahasa Arab). Cairo: Maktabat Wahba.
  • Abu al-Hasan al-Ash'ari (1969). M. M. 'Abd al-Hamid (ed.). (penyunting). Maqalat al-Islamiyin wa Ikhtilaf al-Musallin (dalam bahasa Arab). Cairo: Maktabat al-Nahdah al-Misriyah.
  • Cooperson, Michael (2005). Al-Ma'mun (Makers of the Muslim World). Oxford, England: Oneworld Publications. ISBN 1-85168-386-0.
  • Craig, W. L. (2000). The Kalam Cosmological Argument. USA: Wipf & Stock Publishers. ISBN 1-57910-438-X.
  • Ess, J. V. (2006). The Flowering of Muslim Theology. USA: Harvard University Press. ISBN 0-674-02208-4.
  • Gimaret, D. (1979). "Les Usul al-Hamsa du Qadi 'Abd al-Jabbar et leurs commentaires". Annales Islamologiques. 15: 47–96.
  • Jackson, S. A. (2002). On the Boundaries of Theological Tolerance in Islam: Abu Hamid al-Ghazali’s Faysal al-Tafriqa (Studies in Islamic Philosophy, V.1). Oxford: Oxford University Press. ISBN 0-19-579791-4.
  • Jackson, S. A. (2005). Islam and the Blackamerican: Looking Toward the Third Resurrection. New York: Oxford University Press. ISBN 0-19-518081-X.
  • Martin, R. C. (1997). Defenders of Reason in Islam: Mu'tazilism from Medieval School to Modern Symbol. Oxford, England: Oneworld Publications. ISBN 1-85168-147-7. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  • Nawas, J. A. (1994). "A Rexamination of Three Current Explanations for al-Ma'mun's Introduction of the Mihna". International Journal of Middle East Studies. 26 (4): 615–629.
  • Nawas, J. A. (1996). "The Mihna of 218 A.H./833 A. D. Revisited: An Empirical Study". Journal of the American Oriental Society. 16 (4): 698–708.
  • Walzer, R. (1967). "Early Islamic Philosophy". Dalam A. H. Armstrong (ed.). (penyunting). The Cambridge History of Late Greek and Early Medieval Philosophy. UK: Cambridge University Press. ISBN 0-521-04054-X.

Pautan luar