Pergi ke kandungan

Faisal Tehrani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Mohd Faizal Musa)
Mohd Faizal Musa
Lahir (1974-08-07) 7 Ogos 1974 (umur 50)
Nama penaFaisal Tehrani
WarganegaraMalaysia
GenreFiksyen
Pergerakan sasteraHak Asasi Manusia Dalam Sastera Indie

Mohd Faizal Musa (lahir 7 Ogos 1974) atau nama penanya Faisal Tehrani ialah seorang penulis Malaysia. Disebabkan penulisan dan idea yang sering dilontarkan, beliau terkenal sebagai seorang yang bersifat kontroversi. Sasterawan Negara, A. Samad Said menyifatkan beliau sebagai "...suara 'menentang' yang cuba mencari kewarasan setiap peristiwa yang sedang berlaku di seputarnya.”[1][2] Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah dan hadiah sastera, termasuklah Anugerah Seni Negara pada 2006.[3][4] Beliau kini berkhidmat sebagai Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Kuala Lumpur. Mohd Faizal Musa mulai bersekolah di Sekolah Sacred Heart Melaka, kemudian di Sekolah Rendah Jalan Dato' Palembang. Faisal kemudiannya menyambung pengajiannya di Sekolah Menengah Sultan Muhammad dan Kolej Islam Klang (Kolej Islam Sultan Alam Shah). Faisal sering menulis pengalaman remajanya secara bersiri dalam majalah Fokus SPM.

Kepakaran

[sunting | sunting sumber]

Mohd Faizal adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik dari Universiti Malaya (1998), Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (2000), Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2010). Beliau kini bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Faisal ialah Felo Pelawat di ISEAS-Yusof Ishak sejak tahun 2020.

Sejarah penulisan

[sunting | sunting sumber]

Dalam bidang penulisan, antara novel beliau yang telah diterbitkan ialah Cinta Hari-hari Rusuhan terbitan Creative Enterprise (2000), ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Juga Perempuan Politikus Melayu oleh Penerbitan Pemuda (2000). Ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Johan Jaafar, pengkritik sastera terkenal menamakan beberapa novel politik dari Malaysia yang baik dan Perempuan Politikus Melayu dinyatakan sebagai "mengetengahkan pola pemikiran politik wanita".[5]

Selain itu 1515 diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributor (2003). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2002. Novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 (untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu). 1515 turut dijadikan teks bacaan mahasiswa pengajian Melayu di Universiti Cologne, Jerman. Pada tahun 2011, 1515 diterjemah dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara. 1515 dapat dianggap karya Faisal Tehrani paling penting di awal penulisan beliau. Sebagai contoh, Profesor Emeritus Dr Salleh Yaapar, Universiti Sains Malaysia (USM), memperkatakan kehebatan 1515; "yang mengungkapkan semula sejarah dan identiti Melayu"[6]. Dalam sebuah makalah akademik, Profesor Salleh juga menamakan 1515 sebagai karya besar.[7] Profesor Sohaimi Abdul Aziz, Universiti Sains Malaysia (USM), turut menamakan 1515 sebagai novel yang penuh teknik dan pendekatan sastera[8]. Rosma Derak dari Universiti Malaysia Sabah, Malaysia pula menyifatkan 1515 karya terbaik Faisal Tehrani dan kekuatannya adalah penggunaan ‘deconstructing historiography’ atau 'penulisan semula sejarah'[9]. 1515 juga menjadi satu-satunya novel Malaysia kontemporari yang disebut dalam The Encyclopedia of the Novel terbitan Blackwell (2011)[10]

Karya lain beliau termasuklah Maaf Dari Sorga, novel pertama dalam pembikinan tetapi hanya diterbitkan pada tahun 2003 oleh Zebra Publications; Rahsia Ummi yang diterbitkan oleh Zebra Publications 2003. Dalam pada itu terdapat juga Tunggu Teduh Dulu yang disirikan di ruangan agama Utusan Malaysia dan tamat pada Disember 2003. Novel ini diterbitkan oleh Penerbitan Se-lain (2004) dan Ameen Publishing (2008). Sebuah lagi novel beliau yang terkenal adalah 1511H Kombat oleh Utusan Publications and Distributor (2004).[11] Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2003; dan Advencer Si Peniup Ney oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004.

Sebuah novel remaja awal yang turut digemari ramai adalah Detektif Indigo oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Dalam pada itu sebuah novel sejarah turut dikarang tahun berikutnya, iaitu Surat-surat Perempuan Johor oleh Yayasan Warisan Johor (2005). Ia memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1. Turut dihasilkan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson oleh Utusan Publications and Distributor (2007). Ia merupakan sekuel kepada Detektif Indigo. Dalam makalah akademik 'Adolescent Knowledge Indexes in Detektif Indigo' (2013), terbit di Malay Literature 26 (12): 80-99, dua sarjana Universiti Malaya iaitu Dr Tengku Intan Marlina Mohd Ali dan Dr Salinah Ja’afar dari Akademi Pengajian Melayu menyatakan novel Detektif Indigo ini sangat sarat dengan ilmu untuk remaja dan berguna untuk melatih kemahiran[12].

Novel Tunggu Teduh Dulu dan Surat-surat Perempuan Johor menerima pujian oleh Siti Rabeah Masri, Kamariah Kamarudin dan Pabiyah Hajimaming (Universiti Putra Malaysia) dalam makalah mereka yang berjudul 'The Muslim Woman’s Personality and the Development of Insan Al-Kamil in the Novels of Faisal Tehrani and Isa Kamari', terbit di Malay Literature 26 (1): 38-64; pemakalah menyebut "novel-novel Faisal Tehrani lebih dominan dalam meletakkan wanita Muslim sebagai watak yang berwibawa."[13]

Pada tahun 2007, Faisal Tehrani menghasilkan Bedar Sukma Bisu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2007). Ia memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel umum. Bedar Sukma Bisu turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007.[14] SM Zakir dalam makalah Myth and Religion in the Fu Numeral (Bilangan Fu) and the Prau With the Silent Soul (Bedar Sukma Bisu) terbit di Malay Literature 22(2): 168-190, memuji pemanfaatan mitos yang digubah Faisal di dalam novel tersebut.[15]

Manikam Kalbu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2007). Ia memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel remaja. Di sebuah majlis pada 22 Disember 2009, Manikam Kalbu dianugerahkan pula Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Manikam Kalbu turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007. Dalam sebuah kajian, novel ini dianggap tepu dengan kearifan tempatan (local knowledge) oleh Dr Wan Zaliha Wan Othman dan Profesor Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan.[16]

Faisal terus prolifik dengan menghasilkan Tuhan Manusia oleh Ameen Publishing (2007). Amir Muhammad, penulis, pembikin filem dan penerbit Fixi pernah menyatakan; "Tuhan Manusia adalah provokatif dan sebuah kerja yang memeranjatkan. Secara tematiknya ia sangat konservatif, tetapi mengapa pula konservatif tidak diizin untuk menjadi provokatif?"[17] Ketika Singapore Writers Festival 2015, Faisal telah mengisytiharkan Tuhan Manusia dan Tunggu Teduh Dulu sebagai "water under the bridge," atau antara kerja lampau beliau yang tidak diingini lagi. Mohd Faizal juga menolak untuk dikaitkan dengan gerakan sastera Islam untuk fasa seterusnya penulisan beliau, dengan menegaskan sastera Islam telah menjauhkan khalayak dan gagal mencapai maksud iaitu kemanusiaan. Hal yang sama beliau ulangi ketika ucapan pembukaan di ASEAN Literary Festival Keempat di Jakarta, Indonesia.[18] Pada tahun 2017, sepuluh tahun setelah penerbitan Tuhan Manusia, Faisal menyatakan di dalam artikel kolum beliau di Free Malaysia Today yang beliau berharap untuk menulis kembali novel tersebut setelah meyakini aspek keyakinan atau agama adalah urusan antara manusia dan Tuhan.[19]

Beliau turut menyerlah dengan sebuah lagi novel kanak-kanak iaitu Nama Beta Sultan Alauddin (2007) terbitan Aberdeen World dan Detektif Indigo Kembali (2008) terbitan Ameen Publishing. Ia merupakan sambungan kepada Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson. Seterusnya, Ketupat Cinta di Harian Metro (sejak 13 Januari hingga 5 Ogos 2008) pula diterbitkan secara berkala, dan diterbitkan kembali oleh Ameen Publishing (2009) sebagai Ketupat Cinta Musim Pertama, sekuelnya 'Ketupat Cinta Musim Kedua Penggal Pertama' diterbitkan oleh penerbit yang sama pada tahun 2012. Kemudian, sebuah lagi novel sejarah dikarang iaitu Saasatul Ibaad terbitan Aberdeen World (2008) dan novel mengenai orang asal iaitu Bahlut terbitan Ameen Publishing (2010). Pada tahun 2011, Faisal Tehrani menghasilkan novel berjudul Sebongkah Batu di Kuala Berang bersama PTS Litera. Pada tahun 2012 juga, karya beliau berjudul Perempuan Nan Bercinta diterbitkan bersama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) menimbulkan kehebohan.[20][21] Ia kemudian diharamkan kerajaan Malaysia pada tahun 2014. Pada tahun yang sama, tidak kalah dengan tekanan yang dihadapi, beliau menerbitkan pula novel Bagaimana Anyss Naik Ke Langit terbitan DuBook Press yang mengisahkan nasib seorang aktivis/akademik yang memperjuangkan nasib kaum Penan.[22]

Dalam bidang drama, karya Faisal Tehrani termasuk Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97). Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001). MISI (1999-2000) telah ditaja oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk di bawa mengelilingi Malaysia, ia dipentaskan di Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang. TiVi adalah adaptasi dari novelet Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan diarahkan sendiri dalam tahun 2003 dan didanai di bawah program Teater Kecil oleh bahagian Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 2022, Fakulti Teater, ASWARA mementaskan drama beliau bertajuk Ghaib yang mendapat ulasan menggalakkan.

Kumpulan cerpen Faisal pula ialah, kumpulan cerpen mini diterbitkan di Sasbadi dengan judul Sehari Dalam Perang (1997). Juga kumpulan cerpen mini diterbitkan di Sasbadi dengan judul Safari Gilgit (1997), kumpulan cerpen Underground bersama Azman Husin dalam tahun 2000, kumpulan cerpen Lagi-Lagi Underground dengan Saharil Hasril Sanin tahun 2002. kumpulan cerpen Perempuan Anggerik terbitan DBP pada tahun 2002, kumpulan cerpen ini disenarai pendekkan untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003, kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo terbitan Aberdeen World (2006). Dalam tahun 2010, beliau menerbitkan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu.

Dalam bidang puisi Faisal Tehrani muncul dengan kumpulan puisi beliau yang pertama iaitu Ingin Jadi Nasrallah pada tahun 2010. Ia diterbitkan oleh Ameen Publishing. Sasterawan Negara, Dato' Anwar Ridhwan menyifatkan Ingin Jadi Nasrallah sebagai "sebuah penerbitan yang menyerlahkan bakatnya sebagai penyair. Sebahagian besar puisinya mengandungi pemikiran mendalam yang diperkukuh dengan imejan, metafora serta diksi yang berkesan[23]."

Selain itu beliau juga menulis buku panduan penulisan kreatif dengan judul Karya Nan Indah (Ameen Publishing 2007).

Karya adaptasi

[sunting | sunting sumber]

Monsopiad dan lain-lain Cerita dipentaskan pada 5-7 Disember 2003 di Esplanade Singapura, didanai oleh National Art Council of Singapore.Monsopiad dan lain-lain Cerita dicalonkan untuk Anugerah Cameronian Award 2003 bagi kategori skrip drama Melayu terbaik[24]Bila Tuhan Berbicara (2007) terbitan Ameen Publishing. Karbala (2008) terbitan Aberdeen World.2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun dipentaskan pada 25-29 Ogos 2008 di Auditorium Akademi Pengajian Islam UM dan disifatkan oleh majalah Pentas Jilid 3 Bilangan 4 terbitan Istana Budaya sebagai ‘pementasan yang monumental’. Pada 13-16 Ogos 2009 bertempat di Wisma ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia), Faisal Tehrani kembali mengarah sebuah teater keagamaan dengan menampilkan Kopitiam Ghadir. Ia menampilkan  lagu-lagu nyanyian kumpulan nasyid ‘Revolusi Pembudayaan Selawat’. Kopitiam Ghadir diulang pementasannya pada 1-4 Julai 2010. Kumpulan drama Derik Kerisek diterbitkan oleh Ameen Serve pada 2011.

Pada tahun 2011, sempena Festival Kuala Lumpur 2011, unit Artis Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mementaskan sebuah dramatari, adaptasi dari novel beliau Nama Beta Sultan Alauddin[25].

Awal tahun 2012, cereka tv karya Faisal Tehrani, Pelangi Ada Tujuh Warna, yang diarahkan oleh pengarah terkenal Bade dan diterbitkan oleh seniwati Erma Fatima ditayangkan oleh RTM di TV2. Ia dilakonkan oleh Ahmad Tarmimi Siregar dan Lydiawati. Pelangi Ada Tujuh Warna  mengisahkan kemelut seorang usahawan wanita yang teperangkap dalam nikah misyar yang sering diamalkan oleh sebahagian daripada masyarakat yang mana nikah misyar ini memenuhi semua syarat-syarat sah nikah, seperti ada wali, ada saksi. ada ijab-kabul dan sebagainya. Namun begitu, selepas nikah, suami boleh terlepas dari keperluan memberi nafkah kepada isteri, dengan izin isteri, dan pasangan tidak tinggal bersama. [26].

Penulisan akademik

[sunting | sunting sumber]

Dalam bidang akademik, Faisal dikenali dalam tiga disiplin ilmu, sastera bandingan, ilmu Syiah, dan hak asasi manusia.[27] Antara tulisan akademik beliau yang mendapat rujukan adalah The Malaysian Shi'a: A Preliminary Study of Their History, Oppression, and Denied Rights (2013), Axiology of Pilgrimage: Malaysian Shi'ites Ziyarat in Iran and Iraq (2013), Javanese Sufism and Prophetic Literature (2011), Pengantar Hak Asasi Manusia Moden dan Hujah Sangkalan Ia Bertentangan Dengan Islam (2015),[28] Human Rights Lesson from Selected Malay Proverbs (2016) dan Religious Freedom in Malaysia: The Reading of Qur’an 2:256 (2016) iaitu termuat dalam The Qur’an in the Malay-Indonesian World di bawah siri Routledge Studies in the Qur’an. Kepakaran beliau dalam bidang akademik tersebut dinilai berdasarkan kerujukan yang menggunakan piawai antarabangsa.[29]

Terdapat juga buku Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan (terbitan Unit Buku Harakah) serta buku Wacana Sastera Islam di Malaysia dan Indonesia (terbitan Penerbit UPM) diterbitkan dalam tahun 2012.

Monograf tulisan Faisal yang diterbitkan di ISEAS-Yusof Ishak dianggap mencabar secara akademiknya. Antara kerja akademik beliau mengenai tren Islam yang diberi perhatian ramai adalah Naquib Al-Attas’ Islamization Of Knowledge: Its Impact on Malay Religious Life, Literature, Language and Culture (2021), Muslim Sectarianism versus the De-escalation of Sectarianism in Malaysia (2022), dan Freedom of Religion in Malaysia: The Situation and Attitudes of “Deviant” Muslim Groups (2022).

Karya terjemahan

[sunting | sunting sumber]

Terdapat banyak karya Faisal telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris iaitu 1515 terjemahan Shahnaz Mohd Said ke bahasa Inggeris. 1515 menterbalikkan  sejarah serangan Portugis ke atas Melaka dengan memberikan kejayaan kepada bangsa Melayu melalui watak kepahlawanan Tun Nyemah Mulia. Novel setebal 272 halaman tersebut diterbitkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (sekarang dikenali sebagai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia atau ITBM) dalam 2011.[30]

Novel kedua Faisal yang diterjemah adalah Bedar Sukma Bisu, diterjemahkan Dato Zawiyah Baba, mantan Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia dengan judul The Prau with the Silent Soul (2009). Novel setebal 250 halaman tersebut turut diterbitkan oleh ITBM.[31]

Selain itu empat buah cerpen beliau juga dapat dibaca dalam bahasa Inggeris iaitu Perempuan Anggerik diterjemah sebagai The Orchird Lady (2000), terjemahan Profesor Madya Dr Noraini Md Yusof. Ia diterbitkan dalam Malay Literature 13(1): 65-75. Cerpen Cikgu Tomok diterjemah oleh Kadir Ahmad sebagai A Teacher for Tomok dan diterbitkan dalam Malay Literature 22(1): 65-70.[32] Cerpen Cik Siti Mustika (2009) diterjemah oleh Sasterawan Negara Profesor Dr Muhammad Haji Salleh dengan judul Miss Siti Mustika dan dimuatkan dalam antologi cerpen Sea of Rainbows terbitan ITBM.[33] Seorang Muslim, Seorang Lutheran terbitan asal Malaysiakini bertarikh 27 Januari 2014. Terjemahan A Muslim, A Lutheran dilakukan oleh Yana Rizal.[34]

Puisi Faisal dengan judul Di Tembok Berlin (2012) diterjemah oleh Hedy Holzwarth, Holger Warnk, dan Volker Wolf termuat dalam Kuala Lumpur - Berlin/Berlin - Kuala Lumpur terbitan ITBM.[35] Puisi tersebut yang mana terjemahannya berjudul An der Berliner Mauer, dinukil beliau untuk mengingati Chris Gueffroy, mangsa terakhir Tembok Berlin yang terkorban pada 5 Februari 1989.

1515, Bagaimana Anyss Naik ke Langit, novelet Kegawatan dan drama pentas Misi juga telah diterjemah ke bahasa Inggeris dan Perancis. Manakala Faisal menjadi satu-satunya sasterawan Malaysia yang berjaya menembusi pasaran buku Indonesia selepas Shahnon Ahmad, dengan novel Cinta Hari-hari Rusuhan yang diterjemah ke bahasa Indonesia sebagai Lelaki Yang Membunuh Kenangan (Bentang, 2019).

Novel beliau Profesor terbitan Buku Fixi (2017) diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai The Professor (2020) terbitan Gerak Budaya.

Pada tahun 2023, novel beliau Koro pula diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai, The Koro Riots dan diterbitkan oleh Penguin SEA. Novel ini asalnya diterbitkan oleh Penerbit Circa yang berpangkalan di Jogjakarta, Indonesia. Ia adalah sebuah satira mengenai kaum lelaki yang kehilangan zakar mereka di sebuah negeri bernama Hujung Manani.

Kontroversi

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2008, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin[36] telah mengirimi sepucuk surat kepada ketua pengarang akhbar Harian Metro dan salinannya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadu Faisal Tehrani menyebar fahaman Syiah dalam siri novel Ketupat Cinta iaitu menerusi episod "Bubur Ratapan Asyura".[37] Selain Mohd Asri, tokoh lain yang sering menuduh Faisal Tehrani sebagai "pengarang Syiah" termasuklah Fathul Bari Mat Jahya,[38][39] dan Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jakim Mohd Aizam Mas'od.[40]

Faisal Tehrani berkali-kali menafikan beliau seorang berfahaman Syiah dan menyatakan minatnya untuk melihat kepelbagaian tradisi pemikiran dalam Islam sebagai satu usaha untuk mewacanakan resolusi atau masalah umat.[41] Beliau menghujahkan sarjana besar Malaysia, Profesor Syed Naguib al-Attas dan Dr Burhanuddin al-Helmi sebagai contoh cendekiawan yang meraikan usaha sinkretisme idea Sunni-Syiah untuk meleraikan konflik yang dihadapi masyarakat Islam.[42] Antara penafian yang pernah direkod adalah dalam tulisan beliau di Malaysiakini [43][44] [45] [46] [47]. Namun demikian, lontaran idea Faisal tersebut kurang mendapat tempat, malah Mohd Azizuddin Mohd Sani pensyarah di School of International Studies, Universiti Utara Malaysia menyatakan Faisal adalah antara mangsa kepada trend agenda pihak berkuasa menggunakan Islam untuk mengekalkan populariti[48].

Pada tahun 2011, Faisal Tehrani menghasilkan novel berjudul Sebongkah Batu di Kuala Berang bersama PTS Litera[49]. Pada 5-6 Oktober 2011, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) yang Ke 79, Sebongkah Batu di Kuala Berang telah diharamkan. Tiada sebab kukuh diberikan oleh agensi tersebut sebagai alasan pengharaman. Sebongkah Batu di Kuala Berang bagaimanapun terus dijual di pasaran terbuka memandangkan JAKIM tiada kuasa mutlak melarang buku. Pada tahun 2012 pula, karya beliau berjudul Perempuan Nan Bercinta diterbitkan bersama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) sekali lagi menimbulkan kehebohan. Pada 3 Disember 2013, Faisal Tehrani menerima surat daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan lima karyanya diharamkan oleh JAKIM. Karya-karya tersebut adalah Sebongkah Batu di Kuala Berang, Perempuan Nan Bercinta, drama Karbala, kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah dan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu.

Dalam satu wawancara dengan Wall Street Journal Faisal berkata dengan tegas ; "Di dalam buku ini, Ali Taqi disoal apakah kemungkinan sekolah pemikiran dalam Islam dapat dimanfaatkan untuk meleraikan masalah dan kekusutan versi Islam yang sedang dihadapi oleh sekolah pemikiran Sunni. Ia hanyalah sebuah wacana, sebuah wacana akademik. Justeru Profesor itu bertanya, mungkinkah gabungan aliran pemikiran Sunni dan Syiah dikemukakan secara bersama untuk membantu menyelesaikan pertikaian, konflik dan krisis? Ia adalah sebuah novel yang kompleks. Ada bermacam-macam idea fikiran di dalamnya" [50].

Hak asasi manusia dalam sastera

[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 2008, Profesor Dr Nor Faridah Abdul Manaf dari Universiti Islam Antarabangsa menyebut Faisal sebagai pengarang yang berani. Hal ini disebutkan dalam makalah beliau 'Human Rights and National Literature: A Comparative Study of the Experiences in Malaysia, Thailand and the Philippines' terbit di Asiatic 2 (2): 74-84[51]. Menurut penulis Dravida sesat, Uthaya Sankar SB, hakikat bahawa pengarang di Malaysia gentar dengan pihak berkuasa mengekang mereka untuk menghasilkan karya sastera yang mampu mendapat perhatian Hadiah Nobel, ini tidak terlihat pada karya Faisal Tehrani[52].

Kini setelah pelbagai kontroversi, Faisal dianggap pencetus gerakan radikal Melayu[53]. Antara karya beliau yang secara terang muatannya adalah hak asasi manusia termasuklah cerpen Homosektual yang terbit di Mingguan Malaysia pada 24 Jun 2012[54] dan sebuah cerpennya yang diterjemahkan oleh Yana Rizal untuk laman Projek Dialog dengan judul A Muslim, A Lutheran terbit pada 19 Oktober 2015[55]. Pada tahun 2015, Faisal menghasilkan sebuah buku kanak-kanak berjudul ‘Advencer Yaya dan Fufu. Buku 1: Jangan Cakap Begitu’. Buku terbitan Dubook Press ini secara ringkas memperkenalkan Artikel 1 dan 2 Piagam Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (The Universal Declaration of Human Rights 1948) dengan sasaran indoktrinasi pembaca di bawah usia lima tahun.

Teguran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Mei 2014, United Nations Human Rights, dalam satu komunikasi formal ‘Communications report of Special Procedures: Communication Sent 1 March to 31 May 2014 Replies Received 1 May to 31 July 2014 Case Number MYS 4/2014’ A/HRC/27/72, 2014' telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia meminta penjelasan mengapa novel Perempuan Nan Bercinta dilarang.

Dr Mohd Faizal Musa dan Encik Maina Kiai, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sehubungan dengan itu empat Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menegur kerajaan Malaysia dalam satu komunikasi khas 'AL Cultural rights (2009) G/SO 214 (67-17) Assembly & Association (2010-1) G/SO 214 (56-23) MYS 4/2014' pada 27 Mei 2014. Mereka menganggap pengharaman tersebut adalah satu tindakan menyukarkan ahli-ahli akademik yang mengkaji dalam bidang tersebut. Pelapor-pelapor Khas tersebut adalah Special Rapporteur in the field of cultural rights; the Special Rapporteur on the promotion and protection of the right to freedom of opinion and expression; the Special Rapporteur on the rights to freedom of peaceful assembly and of association; dan the Special Rapporteur on freedom of religion or belief. Di dalam surat tersebut juga kemungkinan untuk beberapa buku lain dilarang[56]. Pihak kerajaan Malaysia mengharamkan empat lagi buku Faisal Tehrani berkuatkuasa 1 April 2015[57].

Faisal Tehrani kemudian mencabar pengharaman empat buah buku tersebut pada 29 Jun 2015 dan meminta semakan penghakiman di mahkamah untuk empat buah bukunya; Sebongkah Batu di Kuala Berang, Perempuan Nan Bercinta, drama Karbala, kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah dan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu[58]. Pada tahun 2018, Mahkamah Rayuan berpihak kepada beliau.

Ancaman bunuh

[sunting | sunting sumber]

Sejak didakwa sebagai Syiah, Mohd Faizal Musa sering mendapat ancaman bunuh dari puak ekstremis agama. Sekurang-kurangnya terdapat empat ancaman bunuh yang dipaparkan menerusi akaun twitter beliau dalam tahun 2015.[59][60][61]

Setelah Pengharaman Buku-Bukunya

[sunting | sunting sumber]

Ekoran dari pengharaman Perempuan Nan Bercinta, Faisal Tehrani seolah-olah tenggelam dari arus perdana sastera Malaysia. Namun demikian, tulisan dan nukilan beliau masih boleh ditelusuri menerusi kolum beliau di Malaysiakini, Free Malaysia Today dan The Malaysian Insight versi BM yang sering menerima komentar hangat daripada pembaca. Pada tahun 2014, selepas menerbitkan Bagaimana Anyss Naik Ke Langit dengan DuBook Press,  Faisal menerbitkan semula cerpen-cerpen beliau dalam dua kumpulan cerpen underground sebelumnya dengan penerbit Thukul Cetak. Kumpulan cerpen tersebut diberi judul Cerpen2 Underground (2015) dengan penambahan sekitar 20 puluh buah cerpen mini.

Faisal mengorak langkah menerbitkan buku kumpulan esei beliau yang pertama berjudul Aku______, Maka Aku Ada! (DuBook Press 2015). Kaver buku tersebut menampilkan beliau dan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan pada rangsang sari belakangnya tertulis; ‘Usah ajari aku bagaimana menjadi Muslim. Engkau tidak semua tahu. Dan aku tidak selalu jahil’.

Pada 6 Mei 2015, Faisal Tehrani dikejutkan apabila Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk mengharamkan empat buah bukunya berjudul Karbala(2008), Ingin Jadi Nasrallah (2010), Tiga Kali Seminggu (2010) dan Sebongkah Batu di Kuala Berang (2011). Pengharaman tersebut berkuatkuasa 1 April 2015[62].

Karbala, yang diharamkan kerajaan tersebut menjadi subjek kajian Profesor Dr Edwin Wierenga dari Universiti Cologne, Jerman dalam satu makalah beliau ‘A Ta’ziya from 21st-century Malaysia: Faisal Tehrani’s Passion Play Karbala’. Ia dimuatkan dalam buku akademik bertajuk ‘Shi’ism in South East Asia’ suntingan Chiara Formichi. Buku ini adalah terbitan C Hurst & Co Publishers Ltd dan mulai dijual di pasaran terbuka bermula 21 Mei 2015[63]. ‘Karbala’ pernah disirikan dalam Dewan Sastera bermula dari Vol. 36, No. 12 (2006). Drama Karbala ini terbit secara bersiri antara bulan Disember 2006 sehingga Julai 2007.

Tanpa mempedulikan tekanan terhadap beliau, Faisal menerbitkan kumpulan puisi keduanya; Kumpulan Puisi Mek Bah terbitan Thukul Cetak (2015) dan sebuah buku kanak-kanak berjudul ‘Advencer Yaya dan Fufu. Buku 1: Jangan Cakap Begitu’. Buku ini secara ringkas memperkenalkan Artikel 1 dan 2 Piagam Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (The Universal Declaration of Human Rights 1948) dengan sasaran pembaca di bawah usia lima tahun.

Mohd Faizal juga menghasilkan sebuah filem dalam tahun 2015 berjudul Leukerbad yang merakam travelog aktivis hak asasi melakukan pelobian di Geneva, Switzerland[64].

Pada tahun 2023, Faisal Tehrani menulis lakon layar Maryam Pagi Ke Malam bersama-sama pengarah filem Badrul Hisham Ismail, dan filem ini dibintangi oleh Sofia Jane. Novel beliau Koro pula diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai, The Koro Riots dan diterbitkan oleh Penguin SEA.

  1. ^ (A. Samad Said dalam Dewan Sastera, November 2002)
  2. ^ a voice for the voiceless
  3. ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm
  4. ^ “A rising star in the literature scene. This novelist has won prizes and awards, including the prestigious Anugerah Seni Negara in 2006. His kind critics predict this talented writer, whose real name is Mohd Faizal Musa, is a national laureate in the making.
  5. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-06. Dicapai pada 2015-12-28.
  6. ^ http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp1jun7.pdf
  7. ^ http://ro.uow.edu.au/cgi/viewcontent.cgi?article=1256&context=kunapipi
  8. ^ https://books.google.com.my/books?id=Am2mCQAAQBAJ&pg=PT76&lpg=PT76&dq=FAISAL+TEHRANI+1515&source=bl&ots=kSpFPGJ72p&sig=8C8Zl6LYJlY8CPoo6K9j2VF5HcA&hl=en&sa=X&redir_esc=y#v=onepage&q=FAISAL%20TEHRANI%201515&f=false
  9. ^ http://www.myjurnal.my/public/article-view.php?id=82068
  10. ^ Razif Bahari. 2011. 'Southeast Asian Archipelago'. Dlm. John Wiley & Sons. The Encyclopedia of the Novel. Wiley Blackwell Publishing. UK. Hlm. 754.
  11. ^ http://www.ukm.my/penerbit/akademika/ACROBATAKADEMIKA75/akademika75%5B01%5D.pdf
  12. ^ http://malayliterature.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2014/08/5-Adolescent-Knowledge-Indexes-in-Detektif-Indigo.pdf
  13. ^ http://malayliterature.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2014/08/3-The-Muslim-Woman.pdf
  14. ^ https://books.google.com.my/books?id=L38_jNlkADAC&pg=PA59&lpg=PA59&dq=faisal+tehrani+bedar+sukma+bisu&source=bl&ots=Bn2dZHxDUL&sig=CoJgaNHbXf2HqZ-lfQkBrxqAPig&hl=en&sa=X&redir_esc=y#v=onepage&q=faisal%20tehrani%20bedar%20sukma%20bisu&f=false
  15. ^ http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/22886/168_190.PDF
  16. ^ "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-03-05. Dicapai pada 2015-12-29.
  17. ^ Amir Muhammad. 2009. You Gotta Have Faith. Malay Mail. 25 February.
  18. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-17. Dicapai pada 2017-08-17.
  19. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-17. Dicapai pada 2017-08-17.
  20. ^ Hamzah, Jamilah (2024-09-05). "Faisal harap jaminan PM Perempuan Nan Bercinta tidak diharam". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Julai 2012. Dicapai pada 2024-09-05.
  21. ^ http://www.malaysiandigest.com/archived/index.php/12-news/local2/8748-jakim-mulls-banning-book-launched-by-najib
  22. ^ http://www.theantdaily.com/Main/It-s-not-sensational-it-s-just-human-rights
  23. ^ http://1anwarridhwan.blogspot.my/2010/04/anwar-ridhwan-lancarkan-buku-azizi.html
  24. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-08-17. Dicapai pada 2015-12-28.
  25. ^ http://robinwong.blogspot.my/2011/07/nama-beta-sultan-alauddin-dance-theater.html
  26. ^ http://www.budiey.com/drama-pelangi-ada-tujuh-warna/
  27. ^ https://ukm.academia.edu/MohdFaizalMusa
  28. ^ Musa, MF. 2015. 'Pengantar Hak Asasi Manusia Moden dan Hujah Sangkalan Ia Bertentangan Dengan Islam'. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman) 3(3): 79 - 94.
  29. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-07. Dicapai pada 2015-12-28.
  30. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-04. Dicapai pada 2015-12-29.
  31. ^ https://books.google.com.my/books?id=_BzfyAYVl0sC&dq=the+pray+of+the+silent+soul&source=gbs_navlinks_s
  32. ^ http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/22879/065_070.PDF
  33. ^ https://books.google.com.my/books?id=ArvR4UTeDRIC&pg=PA53&dq=miss+siti+mustika+sea+of+rainbows&source=gbs_toc_r&cad=3#v=onepage&q=miss%20siti%20mustika%20sea%20of%20rainbows&f=false
  34. ^ http://www.projekdialog.com/featured/a-muslim-a-lutheran/
  35. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-07-24. Dicapai pada 2015-12-29.
  36. ^ https://www.malaysiakini.com/news/113886
  37. ^ https://www.malaysiakini.com/news/83792
  38. ^ https://www.malaysiakini.com/news/117350
  39. ^ https://www.youtube.com/watch?v=2uSzdmvVvCo
  40. ^ https://www.malaysiakini.com/news/247887
  41. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-07. Dicapai pada 2015-12-28.
  42. ^ http://irfront.net/post/opinion-features/isu-perempuan-nan-bercinta-medan-baharu-persuratan-melayu/
  43. ^ https://www.malaysiakini.com/news/202940
  44. ^ https://www.malaysiakini.com/news/203071
  45. ^ https://www.malaysiakini.com/news/203298
  46. ^ http://theklreview.org/faisal-tehrani-bukan-sasterawan-masturbasi/
  47. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-04. Dicapai pada 2015-12-28.
  48. ^ http://www.todayonline.com/world/asia/using-islam-score-political-points
  49. ^ http://pts.com.my/index.php/berita/isu-sebongkah-batu-di-kuala-berang-pts-belum-terima-maklumat-rasmi/
  50. ^ http://blogs.wsj.com/indonesiarealtime/2014/05/08/qa-faizal-tehrani-and-his-banned-beloved-lady/
  51. ^ http://journals.iium.edu.my/asiatic/index.php/AJELL/article/viewFile/49/35
  52. ^ http://www.beritadaily.com/news/2016-01-18/32047/address-issues-not-ban-books-says-uthaya[pautan mati kekal]
  53. ^ http://beritaharian.sg/gah/bahasa-sastera/hak-asasi-lewat-persuratan
  54. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-30. Dicapai pada 2015-12-29.
  55. ^ http://www.projekdialog.com/featured/a-muslim-a-lutheran/
  56. ^ https://spdb.ohchr.org/hrdb/27th/public_-_AL_Malaysia_27.05.14_(4.2014).pdf
  57. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-05. Dicapai pada 2015-12-27.
  58. ^ http://www.nst.com.my/news/2015/12/118685/novelist-faisal-tehrani-seeks-overturn-book-ban
  59. ^ https://twitter.com/drfaisaltehrani/status/557003335861940225
  60. ^ https://twitter.com/drfaisaltehrani/status/580544207372324864
  61. ^ https://twitter.com/drfaisaltehrani/status/640537735640449024
  62. ^ https://www.malaysiakini.com/news/248504
  63. ^ https://www.hurstpublishers.com/book/shiism-in-south-east-asia/
  64. ^ https://www.youtube.com/watch?v=FT6ZZADlr1Y