Bell Labs
Bell Labs (dahulunya dikenali sebagai AT&T Bell Laboratories dan Bell Telephone Laboratories) ialah pertubuhan penyelidikan dan pembangunan milikan Alcatel-Lucent yang dahulu dimiliki oleh American Telephone & Telegraph Company (AT&T).
Asal dan lokasi sejarah
[sunting | sunting sumber]Pada 1925, Western Electric Research Laboratories dan sebahagian daripada bahagian kejuruteraan syarikat American Telephone & Telegraph company (AT&T) digabungkan untuk membentuk Bell Telephone Laboratories, Inc. sebagai sebuah syarikat yang berasingan. Milikan Bell Laboratories dibahagikan sama rata antara AT&T dan Western Electric Company, dengan presiden penyelidikannya yang pertama merupakan Frank B. Jewett. Jewett bekerja dengan syarikat itu sehingga 1940. Kerja utama Bell Laboratories ialah perekaan dan pemberian sokongan kepada kelengkapan yang dibina oleh Western Electric untuk syarikat operasi Bell System, termasuk suis ibu sawat telefon. Kerja sokongan untuk syarikat telefon termasuk penulisan dan penyelenggaraan Amalan Sistem Bell (BSP), satu siri buku panduan teknikal yang tuntas. Bell Laboratories juga melakukan kerja perundingan untuk anak syarikat Bell Telephone dan pemerintahan Amerika Syarikat, termasuk juga Projek Nike dan program Apollo. Sebilangan pekerja ditugasi untuk membuat penyelidikan asas, dengan itu menarik banyak perhatian, khususnya kerana penyelidikan tersebut menghasilkan banyak pemenang Hadiah Nobel. Sehingga 1940-an, lokasi utama makmal-makmalnya terletak berhampiran atau di sekitar Bangunan Bell Labs Building di Bandaraya New York, akan tetapi banyaknya kemudian berpindah ke kawasan subbandar New York di New Jersey.
Lokasi Bell Laboratories yang kemudian di New Jersey termasuklah:
Antara lokasi itu, Crawford Hill dan Whippany masih wujud. Kumpulan pekerja yang terbesar di dalam syarikat adalah di lokasi Naperville-Lisle di kawasan Chicago, Illinois. Sebelum 2001, tapak itu mempunyai sekitar 11,000 pekerja. Terdapat juga kumpulan pekerja yang lain di Columbus, Ohio, North Andover, Massachusetts, Allentown, Pennsylvania, Reading, Pennsylvania, Breinigsville, Pennsylvania, dan Westminster, Colorado. Bagaimanapun, banyak daripada lokasi itu telah mengurangkan bilangan pekerjanya atau menutup operasinya sama sekali sejak 2001.
Penemuan dan pembangunan
[sunting | sunting sumber]Pada puncaknya, Bell Laboratories merupakan kemudahan perdana jenisnya. Ia membangunkan berbagai-bagai teknologi revolusioner, termasuklah astronomi radio, transistor, laser, teori maklumat, sistem pengendalian UNIX, dan bahasa pengaturcaraan C. Terdapat tujuh Hadiah Nobvel yang dianugerahkan untuk kerja yang disiapkan di Bell Laboratories: [1]
- 1937: Clinton J. Davisson berkongsi Hadiah Nobel Fizik kerana menunjukkan sifat gelombang jirim.
- 1956: John Bardeen, Walter H. Brattain, dan William Shockley menerima Hadiah Nobel Fizik kerana mereka transistor yang pertama.
- 1977: Philip W. Anderson berkongsi Hadiah Nobel Fizik kerana mengembangkan pemahaman struktur elektronik yang lebih baik tentang bahan kaca dan magnet.
- 1978: Arno A. Penzias dan Robert W. Wilson berkongsi Hadiah Nobel Fizik untuk penemuan sinaran latar belakang mikrogelombang kosmos, satu cahaya yang hampir seragam dalam jalur mikrogelombang spektrum radio yang mengisi alam semesta.
- 1997: Steven Chu berkongsi Hadiah Nobel Fizik kerana mengembangkan kaedah untuk mendinginkan dan memerangkapkan atom dengan menggunakan cahaya laser.
- 1998: Horst Stormer, Robert Laughlin, dan Daniel Tsui dianugerahi Hadiah Nobel Fizik untuk penemuan dan penjelasan kesan Hall kuantum pecahan.
- 2009: Willard S. Boyle dan George E. Smith berkongsi Hadiah Nobel Fizik bersama-sama dengan Charles K. Kao kerana mereka penderia CCD, sebuah litar semikonduktor pengimejan.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Alcatel-Lucent - Syarikat induk Bell Laboratories
- Arun Netravali - Jurutera dan bekas Presiden Bell Laboratories
- Fotografi laju tinggi & Wollensak - Kamera laju tinggi (prisma putar) Fastax yang dibangunkan oleh Bell Labs
- Filem bunyi - Sistem bunyi Westrex untuk filem pawagam yang dibangunkan oleh Bell Labs
- George Stibitz - Jurutera Bell Laboratories yang digelar sebagai "bapa komputer digital moden"
- Kompleks Holmdel Bell Labs
- Sejarah telefon bimbit - Konsepsi dan pembangunan telefon bimbit oleh Bell Laboratories
- Walter A. Shewhart - Jurutera Bell Laboratories yang digelar sebagai "bapa kawalan mutu statistik"
- "Worse is Better" (Buruk Lebih Baik) - Falsafah reka bentuk perisian yang juga dikenali sebagai "Gaya New Jersey" dan yang dikatakan digunakan untuk membangunkan UNIX dan bahasa pengaturcaraan C
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Bell Labs
- Timeline of discoveries as of 2006 Diarkibkan 2013-09-06 di Wayback Machine
- Bell Labs' Murray Hill anechoic chamber Diarkibkan 2007-08-07 di Wayback Machine
- Bell System Memorial Diarkibkan 2007-01-08 di Wayback Machine
Koordinat: 40°41′00″N 74°24′03″W / 40.683404°N 74.400744°W