Pergi ke kandungan

Dayang Senandong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Filem Dayang Senandong)
Dayang Senandong
PengarahJamil Sulong
PenulisS. Kadarisman
Lakon layarJamil Sulong
Dihasilkan olehVee Meng Shaw
DibintangiSarimah
Ahmad Mahmud
Haji Mahadi
Kuswadinata
SinematografiA. Bakar Ali
Disunting olehH. R. Narayana
Hayat Harris
Muzik olehOsman Ahmad
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehShaw Brothers
Tarikh tayangan
1965
Masa tayangan
110 minit
NegaraMalaya
(Singapura & Malaysia)
BahasaMelayu

Filem Dayang Senandong merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1965. Filem Dayang Senandong diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.

Filem Dayang Senandong diarahkan oleh pengarah Jamil Sulong pada 1965.

Ringkasan

[sunting | sunting sumber]

Mengisahkan seorang puteri raja dari Ratnapura yang dilahirkan bertubuh hitam akibat terkena sumpahan dari seorang rakyat jelata yang bertubuh hitam. Dia telah dihukum bunuh oleh baginda Sultan (lakonan Haji Mahadi) akibat dihasut oleh fitnah dari seseorang. Walaupun orang yang menyebarkan fitnah juga telah dihukum bunuh namun sumpahan mangsa teraniaya kepada baginda Sultan terhadap keturunannya merupakan suatu doa termakbul sebelum dia menemui ajal. Di atas nasihat seorang ahli nujum istana (lakonan Ahmad Nisfu) menyarankan agar sumpahan tuan puteri boleh dihapuskan dengan bersyarat di mana tuan puteri perlu dipisahkan dari kerabat diraja buat selama-lamanya. Dengan arahan tersebut, baginda Sultan juga ingin berpindah keluar dari istana dan menjadi rakyat jelata agar baginda dapat melihat anaknya membesar di depan matanya.

Baginda Sultan mengumumkan perletakkan jawatan sebagai pemerintah. Tempatnya digantikan oleh anaknya, Putera Mahkota Iskandar (Kuswadinata). Sebelum baginda keluar dari istana, baginda telah menganugerahkan sebentuk cincin kepada Iskandar sebagai kenang-kenangan. 17 tahun kemudian, Puteri Dayang Senandong (Sarimah) menginjak ke alam dewasa. Mereka tinggal jauh di dalam hutan di sebuah pulau yang bernama Pulau Senandong. Baginda sultan menjadi mufti agama (tok kadi) di pulau tersebut.

Suatu hari, satu rombongan baginda Sultan Kamaruzaman dari kerajaan Cahaya Nila (Ahmad Mahmud) datang berburu ke Pulau Senandong. Tiba-tiba baginda dan para rombongannya terdengar suara seorang perempuan sedang menyanyi di balik tembok yang tinggi. Datuk Malek (Malek Sutan Muda) memberikan idea di mana beliau menyuruh Kecut (Ibrahim Pendek), Kurus (S. Shamsuddin) dan Bujang (Ahmad C) menyiasat latar belakang gadis dan keluarganya. Keesokkan harinya, mereka bertiga menghadap Kamaruzaman untuk memberitahu tentang perihal gadis yang bernama Dayang Senandong. Selepas mendengar perkhabaran tersebut, baginda Sultan mencari helah bagaimana untuk menemui Dayang yang merupakan anak kepada mufti tersebut memandangkan terlalu banyak syarat ditetapkan oleh mufti untuk menemui keluarganya termasuk Dayang. Sultan Kamaruzaman mengambil keputusan untuk menyamar sebagai seorang saudagar menjual kitab agama yang diperolehi dari Semenanjung Tanah Arab. Kamaruzaman ditemani oleh Kecut yang menjadi saudagar menjual kain.

Beberapa hari kemudian, Kamaruzaman ingin mengahwini Dayang. Lamaran ini direstui oleh ayahnya. Selepas bernikah, baharulah Kamaruzaman mengetahui yang isterinya seorang bertubuh gelap. Namun disebabkan dia telah berjanji di atas nama Allah untuk menerima apa sahaja keburukan dan kelebihan yang ada pada Dayang Senandong. Dia redha dengan ketentuan dari Ilahi. Kamaruzaman dan Dayang belayar pulang ke Cahaya Nila untuk mengishtiharkan mengenai perkahwinan tersebut. Walapun sudah 17 tahun Dayang dipisahkan dari lingkungan istana, namun Dayang masih tidak mampu menghapuskan sumpahan lampaunya. Disebabkan itu jugalah ayahnya merelakan agar Dayang dikahwinkan dengan Saudagar Kamaruzaman supaya sumpahan tersebut terhapus tanpa mengetahui yang Kamaruzaman hanyalah menyamar sebagai saudagar.

Setibanya di istana Kamaruzaman, bondanya, Raja Ampuan (Habsah Buang) tidak merestui mengenai perkahwinan di antara Kamaruzaman dan Dayang. Bondanya tidak menyukai rupa paras Dayang yang kehitaman berbanding dengan tunang Kamaruzaman sebelum itu, Puteri Mawarni (Nor Azizah) yang nampak cantik jelita. Beberapa hari kemudian, Sultan Kamaruzaman bersama rombongan ingin berburu di tempat baharu. Dengan itu, Dayang ditinggalkan bersama bondanya. Tetapi bondanya bersikap zalim dengan mendera Dayang setiap hari. Dayang diperhambakan seperti hamba abdi di dalam istana.

Beberapa bulan kemudian, Dayang yang sedang sarat mengandung memberitahu bondanya yang masanya untuk bersalin sudah semakin hampir. Tetapi bondanya tidak mempunyai rasa belas kasihan, dia telah mengusir Dayang keluar dari istana dan mengarahkan dua orang pegawai istana menjalankan hukuman bunuh terhadap Dayang di dalam hutan. Setibanya di dalam hutan, dua orang pegawai tersebut tidak sampai hati untuk menjalankan hukuman mati tersebut. Salah seorang dari mereka telah membunuh seekor monyet dan diambil darahnya sebagai bukti hukuman mati telah dilaksanakan untuk dipersembahkan kepada Raja Ampuan. Dengan itu, Raja Ampuan juga menitahkan kepada seluruh pegawai istana yang lain agar mengatakan Dayang telah meninggal dunia semasa melahirkan anaknya, anaknya juga turut terkorban. Sementara itu di dalam hutan, selang beberapa hari ditinggalkan hidup keseorangan, Dayang selamat melahirkan seorang puteri. Akibat keletihan, Dayang telah pengsan dan dalam masa yang sama. Dengan takdir dari Allah, tubuhnya bertukar menjadi cerah di mana sumpahan lampaunya telah terhapus kerana dia sempat melahirkan zuriat di luar lingkungan istana.

Suatu hari, Dayang bernyanyi di dalam hutan untuk menidurkan anaknya. Suara nyanyiannya telah didengari oleh rombongan berburu Sultan Iskandar dari kerajaan Ratnapura. Disitulah Iskandar mengetahui bahawa gadis yang dijumpai itu adalah adik kandungnya yang pernah disumpah dahulu melalui cincin yang ada pada Dayang adalah sama dengan cincin yang dipakai oleh Iskandar. Iskandar mengetahui cerita sebenar mengapa adiknya dibiarkan hidup bersendirian di dalam hutan. Iskandar yang begitu marah terus melancarkan peperangan terhadap Raja Ampuan dan menjatuhkan hukuman kaeatasnya menjadi hamba istana. Keesokkan harinya, Sultan Iskandar memaafkan kesalahan Raja Ampuan. Raja Ampuan telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan kejinya terhadap sesiapa sahaja. Tiba-tiba keadaan menjadi kecoh di mana Kecut dan Bujang tiba di istana dengan membawa utusan bahawa Sultan Kamaruzaman telah ditawan oleh Raja Shamsir (Salleh Kamil). Iskandar, Dayang dan bala tenteranya mengambil keputusan untuk belayar demi menyelamatkan Sultan Kamaruzaman disana.

Setibanya di istana Raja Shamsir. Iskandar dan Dayang/(Kamal)menyamar sebagai pembawa utusan menyerahkan utusan bagi melawat Kamaruzaman. Shamsir memberitahu bahawa Kamaruzaman menjadi tawanan Puteri Mawarni yang merupakan tunang lamanya. Selepas diberikan keizinan dari Mawarni, hanya Dayang sahaja dibenarkan untuk melawat Kamaruzaman sementara Iskandar berada diluar istana. Beliau telah melamar Puteri Mawarni dengan berpura-pura menjadi utusan Sultan Iskandar dari kerajaan Cahaya Nila. Puteri Mawarni mula tertarik dengan lamaran tersebut. Mereka bersetuju untuk saling bertukar cincin sebagai tanda lamaran diraja telah berjaya dilaksanakan. Dalam masa yang sama Dayang pula bertungkus lumus menyelamatkan Kamaruzaman sehingga berjaya meloloskan diri. Selepas Shamsir mengetahui bahawa Kamaruzaman berjaya melepaskan diri dari penjara. Kali ini, Shamsir pula melancarkan perang terhadap kerajaan Cahaya Nila. Beberapa hari kemudian. Raja Samsir, Puteri Mawarni dan rombongannya tiba di istana Sultan Kamaruzaman untuk berperang tetapi baginda telah dipujuk oleh ayahanda Iskandar dan Dayang agar tidak berbalah lagi dengan kerajaan Cahaya Nila dan rakyatnya. Beliau mengarahkan agar Puteri Mawarni dinikahkan dengan Sultan Iskandar dari Ratnapura. Raja Samsir menurutkan sahaja agar adindanya berbahagia dengan pilihan hatinya yang baharu.

  • Sayang Senandong nyanyian asal Saloma


Pautan luar

[sunting | sunting sumber]