Tukang arau (burung)
Tukang arau | |
---|---|
Jantan di Namibia | |
Betina di Namibia | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Animalia |
Filum: | Chordata |
Kelas: | Aves |
Order: | Caprimulgiformes |
Keluarga: | Caprimulgidae |
Genus: | Caprimulgus |
Spesies: | C. tristigma
|
Nama binomial | |
Caprimulgus tristigma Rüppell, 1840
|
Tukang arau (Caprimulgus tristigma) ialah spesies tukang dalam keluarga Caprimulgidae. Ia mempunyai taburan yang luas tetapi tidak sekata di seluruh Afrotropika.
Julat dan habitat
[sunting | sunting sumber]Spesies ini ditemui di seluruh Afrika sub-Sahara dalam populasi setempat. Ia jarang ditemui di Afrika barat, ditemui lebih kerap di Timur. Di bahagian selatan benua, ia merupakan penduduk sepanjang tahun di kawasan yang lebih sejuk dan kering, paling kerap ditemui di Zimbabwe, utara dan timur Botswana, barat Mozambique, dan timur Afrika Selatan.
Ia telah ditemui di Angola, Benin, Botswana, Burkina Faso, Burundi, Kamerun, Republik Afrika Tengah, Republik Konggo, Republik Demokratik Konggo, Pantai Gading, Eswatini, Habsyah, Gabon, Ghana, Guinea, Kenya, Liberia, Malawi, Mali, Mozambik, Namibia, Nijer, Nijeria, Rwanda, Sierra Leone, Afrika Selatan, Sudan Selatan, Tanzania, Togo, Uganda, Zambia, dan Zimbabwe .
Pemerihalan
[sunting | sunting sumber]Tukang arau ialah spesies tukang yang besar dan kuat susuknya dengan sayap panjang dan ekor yang agak pendek. Ia tidak mempunyai sebarang tanda yang menonjol dan kelihatan kelabu gelap atau hampir hitam dari jauh. Pada jarak yang lebih dekat, bintik-bintik putih, perang, dan kuning pucat kelihatan pada bahagian atas burung dewasa. Bahagian bawahnya biasanya berwarna perang gelap dengan corak sorotan putih dan perang. Buluannya memberikannya penyamaran yang sangat baik untuk permukaan berbatu.
Ia bersifat dwibentuk jantina. Dalam penerbangan, jantan mempunyai tompok putih kecil pada empat pelepah primer luar dan dua pelepah ekor luarnya mempunyai hujung putih. Betina mempunyai 3 hingga 4 tompok putih yang lebih kecil pada pelepah primer luarnya dan tidak mempunyai putih pada pelepah ekor luarnya. Dalam kedua-dua jantina, apabila sayap berlipat, tompok putih tersebut biasanya tidak kelihatan.
Seruan
[sunting | sunting sumber]Ia sering menyanyi pada awal pagi dan petang, serta pada malam bercahaya bulan. Lagunya boleh berubah-ubah tetapi biasanya dalam bentuk siulan yang terdiri daripada dua atau tiga nada huw . Ia biasanya diulang selama 30 saat atau lebih pada satu masa. Dari jauh, ia mungkin terdengar seperti anjing menyalak.
Seruan penerbangan atau ancamannya terdiri daripada dua atau tiga bunyi wok yang dihantar pada kekerapan rendah. Seruan geranya ialah bunyi lahap menjerit. Untuk paparan gangguan, rungutan grok-grok halus dihantar.
Tingkah laku
[sunting | sunting sumber]Ia bersifat krepuskul dan nokturnal. Pada siang hari, ia bertengger di atas permukaan batu yang kosong atau dilitupi liken, yang mungkin terletak di kawasan terbuka atau di kawasan tumbuh-tumbuhan. Ia boleh bertahan dengan suhu permukaan sehingga 60°C. Pada waktu malam, ia mencari makan di hutan berhampiran atau kawasan lapang. Ia juga kerap duduk di tengah-tengah jalan raya pada waktu malam.
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa spesies tersebut mempunyai daya untuk bertorpor semasa bahagian paling sejuk dan paling kering dalam kitaran tahunannya.
Pemakanan
[sunting | sunting sumber]Makanannya terdiri daripada terutamanya serangga terbang seperti rama-rama, anai-anai, dan kumbang. Bahan makanan lain yang telah dirakamkan sebagai sebahagian daripada pemakanannya termasuk kupu-kupu, lipas, mentadak, sibur-sibur, undur-undur, belalang, lebah, tebuan, dan semut. Semasa musim sejuk, tahap kegiatan berkurangan dengan ketara disebabkan kerunaian bermusim yang besar dalam ketersediaan sumber makanan. Oleh kerana saiz nganganya, yang lebih besar daripada tukang yang lain, spesies tersebut mampu menelan keseluruhan serangga sepanjang 3.5 cm.
Ia mencari makan pada waktu senja, subuh, dan kadang-kadang pada malam bercahaya bulan di atas latar berbatu, tanah pecah, dan padang rumput lembu. Ia menghelang untuk menangkap serangga terbang semasa penerbangan pendek keluar dan kemudian meluncur kembali ke tenggerannya yang terletak di atas batu atau di tepi tebing berbatu.
Pembiakan
[sunting | sunting sumber]Ia bersifat monogami, dengan ikatan pasangan yang tahan agak lama. Dalam satu contoh, ikatan pasangan didapati bertahan selama 3 tahun. Ia cenderung mempamerkan kesetiaan bertapak yang kukuh dan sering menggunakan semula tapak bersarang yang sama tahun demi tahun. Ia bersifat pembiak bertapak batuan, membina sarangnya di dalam rongga yang tandus dan semulajadi di dalam bentukan batuan yang mungkin sebahagiannya terlindung atau tidak terlindung sepenuhnya. Puing tumbuhan dan serpihan batu yang ditiup angin sering memenuhi rongga sarangnya.
Di Afrika timur, musim bertelur adalah samada dari September hingga November atau dari Mei hingga Jun, bergantung kepada rantau. Di selatan Afrika, peneluran cenderung berlaku antara Ogos dan Disember, dengan puncak berlaku dari September hingga November. Di Nijeria, peneluran berlaku antara Januari dan Mei. Jika sangkak pertama hilang, induk biasanya menelurkan sangkak gantian. Ia juga boleh menelurkan sangkak kedua selepas penerbangan anak pertama. Betina menelurkan sangkak dua telur pada hari berturut-turut. Pengeraman berlangsung selama 18.5 hingga 20 hari dan dilakukan oleh induk betina pada waktu siang dan sebahagiannya oleh jantan pada waktu malam. Anak-anaknya agak ligat dalam masa 24 jam selepas menetas dan dijaga oleh kedua-dua induk. Induk betina menjaga anak pada waktu siang, manakala pada waktu malam, ia berselang-seli dengan jantan untuk menjaga anak dan memberi makan kepada anak-anak. Anak-anaknya disamarkan dengan baik dan sebati dengan batu-batu di sekelilingnya. Ia melakukan penerbangan pertamanya pada usia 19 hingga 20 hari.
Status pemuliharaan
[sunting | sunting sumber]Walaupun saiz populasi global belum dikira, ia dianggap stabil, dengan kewujudan yang agak lazim di kebanyakan julatnya. Ia dikelaskan sebagai Kurang Membimbangkan.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ BirdLife International (2016). "Caprimulgus tristigma". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016: e.T22689988A93255437. doi:10.2305/IUCN.UK.2016-3.RLTS.T22689988A93255437.en. Dicapai pada 12 November 2021.